Thursday, April 16, 2009

Lapan hakim naik pangkat berdasarkan merit

PUTRAJAYA: Kenaikan pangkat tiga hakim Mahkamah Persekutuan dan lima hakim Mahkamah Rayuan adalah berdasarkan merit untuk memenuhi standard tertinggi badan kehakiman, kata Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi.

Beliau berkata lapan hakim berkenaan patut berbangga kerana dipilih untuk mengisi kekosongan itu berdasarkan merit mereka, yang juga perlu untuk meningkatkan lagi penghormatan yang diberikan kepada mahkamah.

"Pihak-pihak mahu didengar dengan adil. Kami meletakkan kepercayaan kepada anda untuk mengekalkan keyakinan orang ramai. "Dapat dikatakan bahawa harapan warganegara dan pelanggan adalah amat tinggi, selain itu, mereka juga mahu kes diselesaikan dengan cepat dan efisien," katanya berucap selepas majlis angkat sumpah jawatan di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Tiga hakim Mahkamah Persekutuan dan lima hakim Mahkamah Rayuan berkenaan sebelum itu menerima surat pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Zaki berkata dengan pelantikan bagi dua peringkat mahkamah rayuan itu, beliau berharap keefisienan akan dapat dipertingkatkan lagi dan kes-kes rayuan dapat diselesaikan dengan lebih cepat.

Sehingga 9 April, Mahkamah Rayuan menyelesaikan 987 kes sivil hanya berdasarkan alasan perayu tidak berminat untuk meneruskan rayuan tanpa mengharapkan pendengaran penuh penghakiman yang lain, katanya. - Bernama

No comments: